SHAH ALAM, 12 FEB: Kerajaan Negeri terus memperkukuh pengurusan taska di Selangor dengan mempergiatkan proses pemutihan bagi memastikan semua premis beroperasi mengikut peraturan, sekali gus menjamin kualiti perkhidmatan dan keselamatan kanak-kanak.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata kira-kira 110 taska masih dalam proses pemutihan, namun angka itu sentiasa berubah memandangkan terdapat premis baharu yang dibuka dan sedang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“JKM memaklumkan proses pemutihan akan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan semua taska beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Penerima geran diwajibkan berdaftar dengan JKM. Kita tidak mahu mereka menerima geran tetapi beroperasi tanpa pendaftaran,” katanya selepas Sesi Libat Urus Jaringan Penjagaan Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Beliau menekankan, pemutihan berterusan membolehkan JKM memiliki rekod lengkap bagi memantau operasi taska, sekali gus meningkatkan keselamatan dan mutu perkhidmatan di negeri ini.
Anfaal turut menyeru peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengenal pasti premis yang memiliki lesen perniagaan tetapi belum diperbaharui.
“Walaupun ada pengusaha yang belum mendaftar dengan JKM, PBT boleh mengesan premis yang mempunyai lesen perniagaan namun tidak diperbaharui, sekali gus membolehkan tindakan kawalan diambil secara berterusan,” katanya.




