SHAH ALAM, 12 FEB: Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya dengan 13 tikaman sebelum bertindak menamatkan riwayatnya sendiri di Kepong semalam.
Mayat pasangan warga tempatan itu ditemui terbaring di lantai dalam bilik dengan keadaan berlumuran darah sebelum dimaklumkan kepada polis pada 11.43 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pemeriksaan menemui lelaki berusia 54 tahun dengan kesan tikaman di leher.
Menurutnya, wanita berusia 52 tahun ditemui dengan kesan kecederaan 13 tikaman iaitu 10 di leher, satu di tangan kiri dan dua di badan.
"Motif kejadian dipercayai kerana perselisihan faham antara suami isteri itu dan dipercayai lelaki itu membunuh isterinya sebelum menamatkan riwayatnya sendiri.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur dan proses bedah siasat dijalankan hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 bagi membantu siasatan.


