Program Language Discovery 2026 catat 900 peserta dalam tempoh dua hari pendaftaran

12 Feb 2026, 6:48 AM
Program Language Discovery 2026 catat 900 peserta dalam tempoh dua hari pendaftaran
Program Language Discovery 2026 catat 900 peserta dalam tempoh dua hari pendaftaran
Program Language Discovery 2026 catat 900 peserta dalam tempoh dua hari pendaftaran

SHAH ALAM, 12 FEB: Program Language Discovery 2026 menerima sambutan menggalakkan apabila merekodkan 900 peserta dan 45 kelas dalam tempoh dua hari pendaftaran dibuka.

Program berkenaan dijadual bermula 20 Februari ini sekali gus mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap pembelajaran bahasa yang bersifat inklusif dan berterusan.

Menurut kenyataan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), program itu memerlukan komitmen tinggi daripada peserta bagi memastikan pembelajaran dapat diikuti secara konsisten dan teratur.

“Program ini memerlukan kehadiran konsisten agar setiap peserta dapat mengikuti pembelajaran dengan teratur dan memperoleh manfaat sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, peserta yang berjaya mendaftar akan dihubungi dalam masa terdekat bagi tujuan pengesahan serta menerima maklumat lanjut berkaitan kelas yang disediakan.

Dalam masa sama, PPAS memaklumkan beberapa usaha sedang dilaksanakan termasuk menambah tutor serta membuka slot tambahan kepada mereka yang belum berjaya mendapatkan tempat.

Menurutnya, perkembangan lanjut berhubung jadual baharu dan pembahagian kumpulan akan diumumkan melalui saluran rasmi sebaik sahaja proses penyelarasan dimuktamadkan.

Dalam pada itu, PPAS turut mengakui peningkatan capaian ke sistem pendaftaran telah menyebabkan beberapa masalah teknikal yang menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.

“Proses penaiktarafan pelayan (server) sedang giat dilakukan bagi memastikan kelancaran serta kestabilan sistem semasa program dijalankan terjaga,” jelas kenyataan tersebut menerusi Facebook.

Program Language Discovery 2026 merupakan inisiatif yang mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap pembelajaran bahasa, selain memberi manfaat berterusan kepada komuniti secara menyeluruh.