SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah negeri ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejak Januari lalu, tiada lagi lesen penternakan babi dikeluarkan.
"Sejak bulan Januari, Kerajaan Negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang yang sedia ada di Tanjung Sepat, menjiwai titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang dizahirkan Baginda pada bulan lalu.
"Dalam menjunjung kasih titah terbaharu DYMM Tuanku Sultan Selangor, melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri Selangor," katanya.
Tambahnya, ladang babi sedia ada di Tanjung Sepat akan ditutup dengan seberapa segera dan berperingkat.
"Bagi ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor," katanya.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam kenyataan pada 10 Januari lalu menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan terdahulu untuk memusatkan operasi ternakan babi di Tanjung Sepat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
https://mediaselangor.com/ms/2026/01/338798
Susulan kenyataan Sultan, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim kemudiannya mengadap Sultan pada Isnin, 12 Januari bagi memperincikan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan operasi penternakan babi di Kuala Langat.
https://mediaselangor.com/ms/2026/01/338803
Izham kemudiannya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pelaksanaan pemindahan ladang ternakan babi di daerah Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, pada tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal pada 2030.
“Kerajaan Negeri menghormati serta mengambil kira pandangan dan kebimbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan perkara yang dibincangkan sebenarnya selari dengan syor Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.



