SHAH ALAM, 10 JAN: EXCO pertanian akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor pada Isnin ini bagi memperincikan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan operasi penternakan babi di Kuala Langat.
Dato’ Menteri Besar berkata, Dato’ Ir Izham Hashim juga akan membentangkan langkah proaktif yang dirangka bersama agensi penguat kuasa bagi memperkukuh aspek keselamatan serta kebersihan persekitaran.
Mengulas keputusan MMKN, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan syarat ketat dikenakan ke atas industri berkenaan, khususnya dalam pengurusan sisa, bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap sistem saliran.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk pandangan agensi teknikal supaya isu yang berlarutan sejak belasan tahun laku dapat dimuktamadkan.
“Inisiatif juga bertujuan menjaga sensitiviti masyarakat selain penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau.
“Industri juga dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan,” katanya menerusi kenyataan.
Amirudin berkata keputusan MMKN merupakan langkah lebih tersusun bagi memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh dan berkesan.
“Ia dapat menangani isu alam sekitar, di samping mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik.
“Mewakili Kerajaan Negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Tuanku Sultan Selangor dan mendoakan Tuanku terus dikurnia kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi negeri ini,” katanya.
Petang tadi, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju terhadap keputusan negeri menetapkan operasi menternak babi hanya berjalan di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin bertitah perancangan terbabit berkemungkinan melibatkan pembangunan berskala besar dan berorientasikan eksport luar negara.
Kelmarin, Izham berkata Kerajaan Negeri hanya membenarkan aktiviti penternakan babi dijalankan di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat sebagai langkah penyelarasan alam sekitar serta kawalan penyakit, termasuk Demam Babi Afrika (ASF).
Penetapan yang berkuat kuasa bermula tahun ini melibatkan 112 ladang dan semua pengusaha diarahkan membuat pembaharuan lesen di bawah Enakmen 1961 dalam tempoh terdekat.
Setakat ini kebanyakan penternak babi memang menjalankan operasi di Ladang Tumbuk, manakala hanya tiga ladang di Sungai Belankan, Sepang.


