SHAH ALAM, 9 SEPT: Kilang di Selangor masih dibenarkan beroperasi tanpa sebarang sekatan susulan keadaan jerebu ketika ini.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan bagaimanapun akan terus memantau perkembangan semasa sebelum menentukan tindakan susulan sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Buat masa ini operasi kilang masih seperti biasa, tiada sekatan. Cuma kita terus melakukan pemantauan.
“Sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200 ke atas, mungkin ada larangan terhadap aktiviti tertentu,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata langkah susulan bagi menangani jerebu masih dalam perbincangan dan dijangka dibincangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bersedia mempertimbangkan pelan kecemasan sekiranya keadaan mendesak bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap aktiviti harian dan sektor industri.
“Kita sekarang dalam keadaan pemantauan dan berjaga-jaga. Kita menyeru semua pengusaha, petani dan orang awam supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.
“Aktiviti di kilang yang boleh menghasilkan asap dan tidak mempunyai keperluan, kalau boleh, dielakkan buat masa ini supaya tidak memburukkan keadaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Suee Lim turut menggalakkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengutamakan aktiviti dalam bangunan sepanjang tempoh jerebu.

“Kita berharap keadaan ini cepat pulih supaya aktiviti riadah dan aktiviti harian di kawasan terbuka dapat dijalankan dengan lebih bebas.
“Buat masa ini kita perlu berjaga-jaga, utamakan aktiviti dalam bangunan, kurangkan aktiviti luar dan banyakkan minum air,” katanya.
Pada 26 Ogos lalu, Kerajaan Negeri mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui JAS susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan pesisir Pantai Barat Selangor.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata sekolah di seluruh negeri sudah diberikan notis mengenai langkah awal yang perlu diambil bagi melindungi pelajar, terutama di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Menurutnya, sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200.








