SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan pesisir Pantai Barat Selangor.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini selepas Johan Setia, Banting, Klang dan Shah Alam merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang hari ini telah mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sekolah di seluruh negeri sudah diberikan notis mengenai langkah awal yang perlu diambil bagi melindungi pelajar, terutama di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
“Sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200,” katanya.

Jamaliah berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diarahkan meningkatkan pemantauan bagi mencegah pembakaran terbuka, khususnya di kawasan perumahan, komersial dan perindustrian.
Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Denda tambahan tidak melebihi RM5,000 sehari juga boleh dikenakan bagi kesalahan berterusan selepas notis diserahkan," katanya.
Jamaliah berkata langkah tambahan bagi mengurangkan kesan jerebu akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin esok.
Katanya, tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan unjuran cuaca serta data terkini.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar mengurangkan pergerakan ke luar rumah, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan saluran pernafasan.
“Jerebu bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, tetapi boleh mendatangkan kesan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta pesakit jantung dan penyakit respiratori.
"Golongan berisiko disaran berada di dalam bangunan, mengehadkan aktiviti lasak di luar rumah serta memakai penutup hidung dan mulut sekiranya perlu berada di luar," katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan minum air secukupnya, menjaga kebersihan diri dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami batuk, sesak nafas atau asma yang semakin teruk.
Mereka yang mengesan aktiviti pembakaran terbuka boleh membuat laporan kepada JAS Selangor menerusi talian 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS, selain menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 atau 1-800-88-994 bagi tujuan pemadaman.








