Media Selangor perkukuh kerjasama IPT, dedah mahasiswa kepada industri

18 Nov 2026, 2:00 PM
Media Selangor perkukuh kerjasama IPT, dedah mahasiswa kepada industri

SHAH ALAM, 18 NOV: Media Selangor berhasrat memperluas kerjasama dengan lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai industri media, khususnya dalam bidang komunikasi, perhubungan awam (PR) dan penyiaran.

Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan universiti tempatan bagi membantu mahasiswa memahami operasi serta persekitaran kerja sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Menurutnya, kerjasama dengan Universiti Islam Selangor (UIS) yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini boleh diperluas kepada institusi lain, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL).

Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kita sedang mencari universiti tempatan yang berminat untuk bekerjasama dengan Media Selangor. Pendedahan kepada industri penting supaya pelajar lebih memahami bidang pekerjaan yang bakal mereka ceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Next GenZ Media Selangor yang melibatkan lawatan 26 pelajar Management and Science University (MSU) ke Media Selangor, hari ini.

Program itu merangkumi taklimat operasi organisasi, lawatan ke studio serta simulasi pembacaan berita dan cabaran stand-upper bagi memberi pengalaman langsung kepada mahasiswa mengenai tugasan dalam industri media.

Peserta Program Next GenZ Media Selangor terdiri daripada 26 pelajar Management and Science University (MSU) yang mengikuti taklimat operasi organisasi, lawatan ke studio serta simulasi pembacaan berita dan cabaran stand-upper di Media Selangor pada 18 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Pengurus Penglibatan Media dan Komunikasi Strategik MSU, Ahmad Ibrahim berkata pihaknya berharap Media Selangor dapat menyertai Panel Penasihat Industri Universiti (UIAP) bagi memastikan penawaran akademik lebih selari dengan keperluan industri.

“Melalui UIAP, input industri dapat diselaraskan dengan penawaran universiti supaya apa yang dipelajari mahasiswa memenuhi keperluan sebenar alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan secara langsung kepada persekitaran industri turut memberi pengalaman berbeza kepada mahasiswa, khususnya melalui aktiviti praktikal.

Peserta Program Next GenZ Media Selangor terdiri daripada 26 pelajar Management and Science University (MSU) di bawa melawat ke studio serta simulasi pembacaan berita dan cabaran stand-upper di Media Selangor pada 18 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam MSU, Putera Aqil Juzairi berkata, lawatan itu memberinya gambaran lebih jelas mengenai operasi organisasi media, termasuk proses penerbitan berita dan penghasilan kandungan media sosial.

Katanya, pengalaman mencuba sendiri pembacaan berita turut membuka matanya terhadap cabaran sebenar tugas berkenaan, terutama dalam mengawal rasa gementar dan menyesuaikan intonasi.

“Sebelum ini, saya fikir membaca berita di televisyen kelihatan mudah kerana hanya perlu membaca skrip. Namun, apabila mencubanya sendiri, barulah saya sedar cabaran sebenar, terutama untuk mengawal rasa gementar,” katanya kepada Media Selangor.

Peserta Program Next GenZ Media Selangor terdiri daripada 26 pelajar Management and Science University (MSU) yang mengikuti taklimat operasi organisasi, lawatan ke studio serta simulasi pembacaan berita dan cabaran stand-upper di Media Selangor pada 18 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Seorang lagi pelajar, Sarah Khaled berkata, industri media menawarkan pelbagai bidang untuk diterokai dan wajar diberi perhatian lebih oleh golongan muda.

“Golongan muda perlu mengambil tahu tentang industri media kerana banyak perkara yang boleh dipelajari, bukan hanya berkaitan perhubungan awam,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.