Bulan Wakaf Selangor 2026 perkukuh amalan wakaf berterusan

11 Feb 2026, 2:01 AM
Bulan Wakaf Selangor 2026 perkukuh amalan wakaf berterusan
Bulan Wakaf Selangor 2026 perkukuh amalan wakaf berterusan
Bulan Wakaf Selangor 2026 perkukuh amalan wakaf berterusan
Bulan Wakaf Selangor 2026 perkukuh amalan wakaf berterusan
Bulan Wakaf Selangor 2026 perkukuh amalan wakaf berterusan

SHAH ALAM, 11 FEB: Kerajaan Negeri yakin pelancaran Bulan Wakaf Selangor 2026 menjadi langkah penting bagi memastikan rakyat Selangor terus melazimi ibadah wakaf sebagai amalan berterusan yang memberi manfaat jangka panjang kepada ummah.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata inisiatif peringkat negeri itu wajar diteruskan bagi membudayakan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, walaupun wakaf merupakan amalan sunat, ganjaran dan manfaatnya berpanjangan sehingga hari akhirat.

"Benar, wakaf ini adalah amalan sunat, tetapi manfaat dan ganjarannya berpanjangan hingga yaumul qiyamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis peluncuran Bulan Wakaf Selangor 2026 anjuran Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, semalam.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap dalam Majlis Peluncuran Bulan Wakaf peringkat negeri dan Aplikasi Wakaf Selangor di SACC, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dr Fahmi turut menyeru penjawat awam di Selangor mula berwakaf secara konsisten melalui potongan gaji, selain menggalakkan kempen dalaman di peringkat jabatan bagi memperluas penyertaan kakitangan.

Dalam masa sama, beliau menggesa syarikat berkaitan Kerajaan Negeri melaksanakan wakaf korporat, mengambil contoh pelaksanaan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah memulakan amalan wakaf selepas pelancaran Bulan Wakaf tahun lalu.

"Kami sentiasa menyokong program serta pembangunan yang dilaksanakan PWS dan berharap lebih banyak pembangunan dapat dijalankan di atas tanah wakaf bagi kelestarian ekonomi umat Islam.

"Kerajaan Negeri akan memastikan pembangunan di atas tanah wakaf dilaksanakan sebaiknya," katanya.

Fahmi berharap Bulan Wakaf Selangor dapat dijadikan agenda tahunan dan memaklumkan Kerajaan Negeri juga akan turut berwakaf melalui kaedah yang lebih bersesuaian.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah (lapan, kanan) bersama penyumbang wakaf korporat dalam Majlis Peluncuran Bulan Wakaf peringkat negeri dan Aplikasi Wakaf Selangor di SACC, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Hadir sama Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor Tan Sri Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (enam, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, PWS turut melancarkan aplikasi 'Wakaf Selangor' sebagai platform digital bagi memudahcara urusan wakaf serta memperluas penyertaan masyarakat secara lebih sistematik, telus dan mesra pengguna.

Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik cek cura Wakaf Tunai oleh 12 syarikat korporat kepada PWS dengan jumlah keseluruhan RM400,000 sebagai tanda sokongan sektor korporat terhadap pengukuhan ekosistem wakaf di Selangor.