MPKj pergiat agenda hijau, tanam 50 pokok sempena program Roots for Tomorrow

10 Feb 2026, 7:31 AM
MPKj pergiat agenda hijau, tanam 50 pokok sempena program Roots for Tomorrow
MPKj pergiat agenda hijau, tanam 50 pokok sempena program Roots for Tomorrow

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mempergiat usaha kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan Program Penanaman Pokok sempena pelancaran inisiatif Roots for Tomorrow di Taman Tasik Kesuma, Beranang hari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan KEB Berhad sebagai langkah meningkatkan kawasan hijau bandar, di samping memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

"Program ini mencerminkan komitmen bersepadu pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan serta sektor korporat dalam menyokong pembangunan mampan dan menangani kesan perubahan iklim di peringkat komuniti.

"Sebanyak 50 pokok pelbagai spesies ditanam menerusi konsep landskap bandar, antaranya Eucalyptus deglupta, Hopea odorata, Garcinia subelliptica dan Salix babylonica, yang berfungsi meningkatkan kualiti persekitaran serta keseimbangan ekosistem setempat," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan KEB Berhad menanam 50 pokok pelbagai spesies di Taman Tasik Kesuma, Beranang pada 10 Februari 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kajang

Program itu turut disertai Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi MPKj Norazman Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YHM Azlan Jamil serta Pengarah Eksekutif KEB Berhad Vinson Lim.

MPKj menegaskan komitmen untuk terus memperkasa agenda hijau melalui kerjasama strategik pelbagai pihak demi mewujudkan persekitaran bandar yang lestari, selamat dan berkualiti untuk kesejahteraan penduduk.