Hilang sejak malam tadi, dua budak perempuan dua tahun ditemui selamat

10 Feb 2026, 7:13 AM
Hilang sejak malam tadi, dua budak perempuan dua tahun ditemui selamat

SHAH ALAM, 10 FEB: Dua kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilaporkan hilang sejak malam tadi berjaya ditemui dalam keadaan selamat pagi ini.

Kedua-dua kanak-kanak dikenali sebagai Husna dan Tulin itu, ditemui kira-kira jam 10 pagi di kawasan tangga menghala ke bumbung pangsapuri kediaman mereka di Saville Kajang, Jalan Reko di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan dua kanak-kanak terbabit pada jam 1.46 pagi, dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 malam.

“Tindakan mencari dan mengesan dijalankan dengan serta-merta termasuk memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu. Mereka ditemui jam 10 pagi tadi dalam keadaan selamat di tangga yang menghala ke bumbung Apartment Saville Kajang oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Kedua-dua kanak-kanak itu didapati berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal namun akan dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur pengabaian dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Naazron menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak dalam jagaan masing-masing serta tidak membiarkan mereka bersendirian.

“Segera hubungi pihak polis atau talian kecemasan NG MERS 999 untuk bantuan segera,” katanya.