SHAH ALAM, 10 FEB: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan 10 operasi pembenihan awan di Johor, Kedah dan Perak mulai esok.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembenihan awan itu melibatkan masing-masing tiga lokasi di Johor dan Kedah serta satu di Perak, lapor Berita Harian.
Katanya, pembenihan awan bertujuan meningkatkan paras air di empangan Upper Layang, Pulai dan empangan Machap di Johor akan dilakukan bermula esok dan Khamis ini.
Katanya, pembenihan awam di Kedah untuk Empangan Pedu, Empangan Muda dan Ahning serta empangan Bukit Merah di Perak akan dilakukan pada Jumaat dan Sabtu.
"Kita akan melakukan pembenihan awam secara ulangan di Empangan Upper Layang, Empangan Pulai dan Empangan Machap di Johor pada Ahad depan," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA menyampaikan ucapan Penggulungan Pemukiman Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi 2026 di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan buku Ijtihad Demi Rakyat di Taman Tamadun Islam (TTI), sebuah kompilasi petikan ucapan dan pencapaian utama beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, operasi pembenihan awam dilaksanakan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang semakin susut berikutan cuaca panas pada Musim Barat Daya (MBD).
Katanya, cuaca panas di tiga negeri itu kini dilaporkan berada pada tahap amaran.
"Kita tidak perlu menunggu cuaca panas berada pada tahap kritikal untuk melakukan operasi pembenihan awam," katanya.


