MB: Pembangunan Selangor seimbang ekonomi, budaya dan nilai kemanusiaan

10 Feb 2026, 12:02 AM
MB: Pembangunan Selangor seimbang ekonomi, budaya dan nilai kemanusiaan

SHAH ALAM, 10 FEB: Pembangunan dan kemajuan Selangor tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya turut menekankan penganjuran program berunsur kebudayaan dan kesenian.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran acara sedemikian mampu menyemai nilai kemanusiaan, membentuk pemikiran rasional serta memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri.

Menurutnya, sejarah di beberapa negara membuktikan pembangunan bermula dengan usaha pejuang kemerdekaan yang menggerakkan budaya membaca dan menulis, sebelum mencetuskan perubahan dalam masyarakat dan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama para tetamu pada Majlis Makan Malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di Universiti Selangor Shah Alam pada 9 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Sastera dan budaya merupakan antara inti penting dalam pembangunan sesuatu tamadun. Selangor tidak akan mengetepikan aspek ini kerana ia memberikan jiwa kepada pembangunan dan pemerintahan negeri.

“Selangor muncul sebagai juara pembangunan ekonomi dengan sumbangan KDNK mencecah 26.2 peratus pada 2024, bernilai RM432 bilion, sekali gus menjadi satu-satunya negeri yang merekodkan nilai ekonomi melebihi RM400 bilion. Tahun lalu sehingga September, negeri ini berjaya mewujudkan hampir 44,000 peluang pekerjaan serta menerima RM51 bilion pelaburan asing dan tempatan.

“Namun, pembangunan ekonomi berskala besar ini akan menjadi tempang sekiranya pembentukan insan diabaikan. Tanpa nilai kemanusiaan, ia berisiko melahirkan masyarakat yang keras dan melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin,” katanya.

Beliau berucap demikian di Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di sini malam tadi, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Datuk SeriSeri Anwar Ibrahim tiba pada Majlis Makan Malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di Universiti Selangor Shah Alam pada 9 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut menukar tema pentadbiran bagi memastikan nilai kemanusiaan terus diperkukuh dalam setiap dasar dan pelaksanaan.

“Dahulu kita menggunakan tema Merakyatkan Ekonomi, kemudian Peduli Rakyat. Kini kita memperkenalkan Iltizam Selangor Penyayang yang merangkumi pelbagai program kebajikan untuk membantu rakyat.

“Bukan sekadar menilai dari sudut ringgit semata-mata, sebaliknya kita mahu memupuk nilai kemanusiaan sesama rakyat, tanpa mengira kaya atau miskin, melalui pemberian bantuan, sokongan dan usaha mengangkat kehidupan bersama,” katanya.