Pendaftaran program kelas asas lapan bahasa masih dibuka - PPAS

9 Feb 2026, 11:03 AM
Pendaftaran program kelas asas lapan bahasa masih dibuka - PPAS
Pendaftaran program kelas asas lapan bahasa masih dibuka - PPAS

SHAH ALAM, 9 FEB:  Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan pendaftaran bagi program Language Discovery 2026 masih terbuka, meskipun menerima jumlah capaian pengguna yang tinggi.

Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad berkata sejak diumumkan oleh Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026, program tersebut terus menjadi tumpuan masyarakat.

Bagi edisi 2026, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan inisiatif khas berjumlah RM500,000 untuk pembelajaran lapan bahasa bagi menggalakkan rakyat negeri Selangor mempelajari bahasa ketiga.

"Untuk makluman, pendaftaran kelas bahasa hari ini menerima sambutan di luar jangkaan. Ini juga merupakan pengalaman baharu buat kami. Maka kami dengan rendah hati memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami sepanjang proses pendaftaran berlangsung.

“Kami amat menghargai kesabaran dan sokongan anda, dan buat masa ini PPAS sedang berusaha sebaik mungkin untuk menambah baik sistem pendaftaran  agar proses ini dapat berjalan dengan lebih lancar dan selesa untuk semua,” katanya menerusi kenyataan.

Pendaftaran kelas bahasa ini akan terus dibuka kerana kuota percuma masih ada. Sekiranya kuota percuma ini telah penuh, masyarakat tetap berpeluang mengikuti kelas bagi kesemua lapan pilihan bahasa yang ditawarkan melalui slot alternatif pada kadar hanya RM10 sejam iaitu harga subsidi. Langkah ini bagi memastikan peluang mempelajari bahasa asing tetap tersedia bagi semua pada kos yang paling minima.

Komitmen PPAS amat menghargai minat tinggi masyarakat dalam penguasaan bahasa asing, dan akan sentiasa memantau prestasi dan kestabilan sistem pendaftaran bagi memastikan pengalaman pengguna yang lancar dan efisyen sepanjang tempoh pendaftaran berlangsung.

"Kami berterima kasih kepada para tutor bahasa dan warga kerja yang bersama-sama menjayakan program ini. Terima kasih sekali lagi kepada YAB Dato' Menteri Besar Selangor atas pengumuman inisatif ini, yang selari dengan pesanan beliau agar memastikan tiada sesiapa yang tertinggal," ujar Mastura.