SHAH ALAM, 9 FEB: Seorang guru tuisyen wanita maut dipercayai terjatuh dari beranda tingkat 17 sebuah kondominium di Bandar Tun Hussein Onn, dekat Kajang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang,Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata mangsa ialah wanita warga tempatan berusia 24 tahun yang tinggal bersama keluarganya.
Beliau berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu, kira-kira jam 3.06 petang.
"Mangsa dipercayai mempunyai masalah peribadi sebelum ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia.
"Bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan pelbagai kesan jatuh dari tempat tinggi dan tiada unsur jenayah dikesan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Raqib Abu Bakar di talian 0178806636.
Beliau turut menasihatkan individu yang berdepan masalah peribadi dan memerlukan bantuan menghubungi Talian Kasih 15999 atau berjumpa kaunselor bertauliah bagi mendapatkan khidmat nasihat.


