SHAH ALAM, 23 NOV: Polis mengesahkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah hari, lapor Berita Harian.
"Kejadian berlaku ketika peperiksaan sedang berjalan. Mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat dua dan disedari pihak sekolah.
"Akibat kejadian itu mangsa cedera di kaki dan mulut serta menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI)," katanya.
Shahrulanuar bagaimanapun berkata sehingga kini polis belum menerima sebarang laporan daripada mangsa atau ahli keluarganya.
"Polis masih dalam siasatan berhubung kejadian namun kes tiada sebarang unsur jenayah.
"Pada masa sama, kejadian ini tidak membabitkan mana-mana pihak dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini," katanya.







