ad

Ibu bapa penuntut UM maut jatuh bangunan tidak sempat tatap wajah anak

18 Okt 2025, 2:20 PM
Ibu bapa penuntut UM maut jatuh bangunan tidak sempat tatap wajah anak
Ibu bapa penuntut UM maut jatuh bangunan tidak sempat tatap wajah anak
Ibu bapa penuntut UM maut jatuh bangunan tidak sempat tatap wajah anak
Ibu bapa penuntut UM maut jatuh bangunan tidak sempat tatap wajah anak

JOHOR BAHRU, 18 OKT: Ibu bapa penuntut Universiti Malaya (UM) Ahmad Arif Zawir Mohd Ali yang maut akibat terjatuh bangunan kolej kediaman petang semalam, tidak sempat menatap wajah anak mereka sebelum dikebumikan petang tadi.

Abang Allahyarham, Ahmad Auf, 35, berkata ibu bapa mereka Mohd Ali Hashim, 63, dan Roslina A Rahman, 61, berada di tanah suci sejak 7 Oktober lalu sebagai mutawif dan sepatutnya pulang Rabu depan.

Beliau berkata ibu bapa mereka bagaimanapun sudah berlepas dari Jeddah 2 petang tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 12 tengah malam ini.

"Umi dan abah dapat berita pemergian adik daripada kumpulan Whatsapp keluarga. Walaupun tidak sempat berjumpa, kami kongsi video dan gambar sepanjang majlis pengebumian kepada mereka," kata jurutera itu ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurutnya Ahmad Arif Zawir yang bercita-cita mahu menjadi ilmuwan Islam kali terakhir ditemui pada 12 Oktober iaitu pada hari beliau dihantar ke universiti bagi memulakan semester baharu.

"Allahyarham ada cakap rindu umi dan abah, tetapi tidak kesampaian untuk berjumpa. Kami, umi dan abah juga reda apa yang berlaku, dia pergi pada hari Jumaat iaitu hari yang baik," katanya.

Ahmad Auf turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu urusan pengebumian adiknya.

Sementara itu, rakan Allahyarham, Muhammad Faiz Fahmi Abdul Basir, 21, berkata Ahmad Arif Zawir berwatak ceria ketika kali terakhir ditemui Khamis lalu.

"Tiada siapa yang jangka kejadian ini berlaku, pemergian dia sememangnya memberikan kesan yang mendalam kepada saya," katanya yang berasal dari Kedah.

Asyrafuddin Arif Amaluddin Arip, 22, pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang rakan yang disenangi ramai dan tidak mempunyai musuh.

"Dia orang yang sangat baik, sentiasa pegang tasbih dan buku agama tetapi agak pendiam," kata pemuda dari Shah Alam itu.

Terdahulu, jenazah mahasiswa tahun empat Jabatan Figh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah Pasir Gudang di sini pada 6.20 petang tadi.

Lebih 100 orang terdiri ahli keluarga, rakan dan pihak universiti menghadiri pengebumian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat dilaporkan berkata hasil bedah siasat mendapati kematian penuntut itu berpunca kecederaan serius di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Beliau berkata bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pegawai perubatan di Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula kira-kira 10 malam semalam dan selesai 3 pagi tadi.

Shamsudin memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mangsa terjatuh dari bangunan kolej kediaman pada 3.15 petang semalam dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM pada 4.25 petang hari sama.

- BERNAMA