SHAH ALAM, 9 FEB: Sejumlah RM125 juta dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan jalan negeri di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), kata EXCO Infrastruktur.
Dato’ Ir Izham Hashim berkata kontrak berkenaan akan dikendalikan oleh Infrasel Sdn Bhd bagi tempoh 2026 hingga 2030, merangkumi kerja rutin seperti pemotongan rumput, pembersihan sistem perparitan dan penyelenggaraan jalan.
“Hari ini, Kerajaan Negeri turut menyerahkan surat setuju terima kepada Infrasel Sdn Bhd bagi pelaksanaan kontrak jangka panjang penyelenggaraan jalan JKR.
“Ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memodenkan JKR, khususnya dalam mendepani cabaran semasa dan mendatang bagi pengurusan penyelenggaraan jalan di negeri maju seperti Selangor,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu JKR Selangor serta Surat Setuju Terima Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan Tahun 2026-2030 di Stadium Mini JKR Selangor, di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, sebanyak 11 jentera bernilai RM3 juta yang diperuntukkan menerusi MARRIS diserahkan kepada JKR Selangor bagi menggantikan aset sedia ada yang telah digunakan lebih 20 tahun.
Aset tersebut melibatkan dua unit jengkaut, tiga jentolak pengorek belakang, lori pengangkat setinggi 18 meter dan empat lori trak tipper.
Menurut Ir Izham, kesemua aset berkenaan akan digunakan secara jabatan bagi kerja penyelenggaraan jalan, lampu isyarat serta tujuan mobilisasi ketika bencana seperti tanah runtuh dan banjir.
“Aset ini akan ditempatkan di JKR daerah bagi menyokong kerja penyelenggaraan jalan, mobilisasi tenaga kerja dan bahan binaan, pemeriksaan bangunan tinggi serta penyelenggaraan lampu isyarat dan lampu jalan.
“Penggantian ini bukan sekadar soal penampilan, sebaliknya melibatkan penjimatan kos penyelenggaraan jangka panjang serta aspek paling utama iaitu keselamatan kakitangan JKR ketika bertugas di lapangan,” katanya.




