MPHS sita penjaja asing berniaga di pasar awam

9 Feb 2026, 2:48 AM
MPHS sita penjaja asing berniaga di pasar awam
MPHS sita penjaja asing berniaga di pasar awam
MPHS sita penjaja asing berniaga di pasar awam

SHAH ALAM, 9 FEB: Seorang warga Myanmar yang menjual ikan tanpa kebenaran sah di Pasar Awam Serendah, Hulu Selangor dikenakan tindakan penyitaan dalam satu operasi dilakukan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan di media sosialnya, MPHS berkata tindakan warga asing itu merupakan kesalahan di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (MDHS) 2007, dan satu tindakan sitaan telah dilakukan ke atas penjaja terbabit.

MPHS turut menjelaskan yang pihaknya akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan bagi memastikan aktiviti penjaja dilakukan secara teratur dan sah.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada Januari lalu turut melakukan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing susulan aduan awam.

Dalam operasi dilaksana MPKL, empat penjaja warga asing dikenakan tindakan sitaan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata yang pihak kementerian sudah mengenal pasti modus operandi penjaja warga asing dan akan mempertingkat pemantauan bagi menangani aktiviti berkenaan.