SEPANG, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan lima Notis Tawaran Kompaun (NTK) dan merekodkan 22 inventori dalam operasi penguatkuasaan aktiviti penjajaan di sekitar Cyberjaya baru-baru ini.
Operasi yang dilaksanakan Unit Penjaja Zon Utara dengan bantuan Unit Penjaja Tengah, Unit Malam Tengah dan Unit Malam Utara itu melibatkan kawasan Persiaran Apec dan Persiaran Cyber Point Selatan.
MPSepang dalam kenyataan memaklumkan operasi bertujuan memantau serta menguatkuasakan peraturan berkaitan aktiviti penjajaan, selain memastikan semua peniaga mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Hasil operasi mendapati beberapa penjaja dikenakan tindakan NTK dan sitaan kerana menjalankan aktiviti penjajaan tanpa kebenaran.
“Turut diambil tindakan ialah aktiviti penjajaan oleh warga asing yang menjalankan perniagaan di lokasi operasi,” menurut kenyataan itu.
Tindakan berkenaan dibuat mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen.
MPSepang menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan semua penjaja mematuhi undang-undang dan tidak menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran di kawasan awam.












