SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memperketat penguatkuasaan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, khususnya di kawasan tumpuan industri, susulan aduan awam.
Menurut MPKL, seramai 10 anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi khas yang dijalankan pada 14 Januari lalu di Jalan Zuhrah dan Jalan Neutron, Kawasan Perindustrian Bandar Mahkota, Banting.
“Hasil operasi mendapati empat penjaja warga asing menjalankan aktiviti perniagaan makanan dan minuman tanpa kebenaran sah.
"Kesemua mereka dikenakan tindakan sitaan selaras Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007 berkaitan kesalahan berniaga tanpa kebenaran serta Undang-Undang Kecil 42(1) bagi tujuan sitaan barangan,” katanya di Facebook.
Dalam pada itu, MPKL menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasa dari bagi memastikan pematuhan undang-undang, menjaga ketenteraman awam serta melindungi peniaga berlesen yang beroperasi secara sah.
Orang awam turut digalakkan menyalurkan aduan kepada MPKL sekiranya terdapat sebarang aktiviti perniagaan tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.


