SUBANG JAYA, 8 FEB: Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan diberikan bagi pembangunan perumahan di kawasan berhampiran Hutan Wawasan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata pihaknya telah mengarahkan MBSJ supaya menolak proses Penilaian Impak Sosial (SIA) yang didapati tidak telus meskipun kajian berkenaan sedang dijalankan.
Menurut beliau, sebarang cadangan pembangunan yang berpotensi menjejaskan alam sekitar serta kehidupan penduduk setempat tidak boleh diterima.
“Walaupun kawasan itu telah diwartakan sejak 1926 dan mempunyai pemilik, sebarang pembangunan yang boleh menjejaskan alam sekitar serta kehidupan penduduk setempat tidak boleh diterima.
“Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kinrara bersama Ahli Majlis MBSJ turut memberikan sokongan penuh kepada penduduk yang membantah cadangan pembangunan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Rekreasi Wawasan, Puchong di sini, malam tadi.
Beliau yang juga EXCO Pelaburan menegaskan tuduhan kononnya Kerajaan Negeri dan MBSJ telah memberi kelulusan adalah tidak berasas.
“Pembangunan di kawasan tersebut berpotensi menjejaskan kualiti hidup komuniti sekitar serta pendaki yang menggunakan laluan di Bukit Wawasan untuk aktiviti riadah,” ujarnya lagi.


