SHAH ALAM, 6 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat serta Kuala Lumpur hingga 7 malam ini.
Amaran sama turut diramal berlaku di seluruh Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka serta beberapa kawasan di Kedah, Pahang, Johor dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.




