Gudang edar minuman keras tanpa lesen di Subang Jaya diserbu

6 Feb 2026, 2:20 AM
Gudang edar minuman keras tanpa lesen di Subang Jaya diserbu

SHAH ALAM, 6 FEB: Sebuah gudang di Subang Jaya diserbu kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran minuman keras tanpa lesen dan tidak bercukai.

Serbuan itu diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MBSJ, Muhamad Sulaiman Abdullah, dengan sokongan anggota penguat kuasa MBSJ serta 14 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

MBSJ memaklumkan, pihaknya mengeluarkan Notis Sitaan dan Notis Penutupan Premis Establisymen Makanan, manakala PDRM melakukan tangkapan serta rampasan pelbagai jenama minuman keras.

“Kesemua individu yang ditahan bersama barangan rampasan telah dibawa ke IPD Serdang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MBSJ memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di seluruh kawasan di bawah pentadbiran majlis bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar peraturan.

"Sehubungan itu, pemilik gudang dan pengusaha premis dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, MBSJ menggalakkan orang awam agar menyalurkan sebarang aduan berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang melalui saluran rasmi MBSJ atau hubungi Jabatan Penguatkuasaan di talian WhatsApp 019-220 7823.