Penyelarasan daerah diperkasa, Selangor pastikan bantuan sampai golongan sasar

3 Feb 2026, 12:26 PM
Penyelarasan daerah diperkasa, Selangor pastikan bantuan sampai golongan sasar
Penyelarasan daerah diperkasa, Selangor pastikan bantuan sampai golongan sasar

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri memperkukuh penyelarasan Bantuan Blueprint dan Rumah Kerajaan Prihatin di peringkat daerah bagi memastikan penyampaian lebih berkesan kepada golongan sasar.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Blueprint dan Rumah Kerajaan Prihatin bagi daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor yang diadakan petang tadi.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan melibatkan wakil Pejabat Daerah dan Tanah serta penghulu mukim sebagai platform perbincangan dan perkongsian berkaitan pelaksanaan program pembangunan rakyat di peringkat daerah.

“Sesi ini memberi ruang untuk meneliti keperluan setempat, mengenal pasti cabaran pelaksanaan di lapangan.

“Selain itu cadangan penambahbaikan turut dibincangkan supaya penyampaian bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh kepada golongan sasar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Papparaidu turut memaklumkan beliau akan turun sendiri ke setiap daerah bagi menyerahkan bantuan kepada penerima sebagai langkah memastikan bantuan sampai secara langsung kepada mereka yang memerlukan.

“Saya akan turun ke setiap daerah untuk menyerahkan sendiri bantuan kepada setiap penerima. Baki lima daerah lagi yang belum selesai akan disambung pada esok,” katanya.

Beliau menegaskan kerjasama berterusan antara pimpinan daerah, penghulu mukim dan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan setiap dasar dan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap inisiatif dan dasar Kerajaan Negeri benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan peruntukan melebihi RM170,000 kepada 24 peniaga yang menerima program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di daerah Petaling dan Sepang.

Daripada jumlah itu, seramai 18 peniaga di Sepang menerima bantuan bernilai RM129,500, manakala enam peniaga di Petaling melibatkan peruntukan RM41,157.

Menurut beliau, semua bantuan peralatan dijangka diagihkan kepada penerima selewat-lewatnya Jun ini, sebelum diteruskan dengan fasa seterusnya pada Oktober.

Papparaidu memaklumkan sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi Bantuan Blueprint, manakala program I-SEED menerima peruntukan RM1 juta.

Sementara itu, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin turut menerima peruntukan RM2 juta bagi meningkatkan keselesaan kediaman, termasuk untuk komuniti Orang Asli.