MBSJ tawar kutipan sisa pukal percuma sempena Tahun Baharu Cina

6 Feb 2026, 12:33 AM
MBSJ tawar kutipan sisa pukal percuma sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan perkhidmatan kutipan sisa pukal secara percuma khusus kepada rumah kediaman bertanah di kawasan pentadbirannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

MBSJ memaklumkan permohonan bagi perkhidmatan berkenaan dibuka mulai sekarang hingga 9 Februari, manakala tempoh kutipan akan dilaksanakan sehingga 16 Februari ini.

Antara barangan yang diterima untuk kutipan ialah tilam, sofa, kabinet serta perabot lama lain.

Bagaimanapun, MBSJ menegaskan bahawa sisa binaan atau pengubahsuaian, peralatan elektrik serta bahan kitar semula tidak termasuk dalam perkhidmatan ini.

Tempoh kutipan akan dilaksanakan sehingga 16 Februari ini. Foto Facebook KDEBWM

Bagi membuat permohonan, penduduk perlu menghubungi KDEB Waste Management (KDEBWM)menerusi talian hotline 03-8081 4437 atau WhatsApp 011-3538 4437.

Pihak KDEB akan menghubungi pemohon untuk mengesahkan tarikh kutipan sebelum kerja-kerja pengambilan dilaksanakan.

Penduduk dinasihatkan untuk meletakkan sisa pukal di hadapan rumah masing-masing pada tarikh yang ditetapkan bagi melancarkan proses kutipan.

Inisiatif ini dilihat sebagai usaha MBSJ menggalakkan pengurusan sisa yang lebih teratur, selain membantu penduduk membersihkan kediaman dan persekitaran menjelang sambutan perayaan.