Aneka Walk muncul sebagai destinasi gaya hidup moden yang bakal menjadi nadi baharu Seksyen 14, Shah Alam. Ia dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek SA Sentral, satu inisiatif peremajaan bandar utama oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi pusat bandar Shah Alam yang meliputi keluasan kira-kira 58.6 hektar (lebih kurang 143 ekar) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion.
Melalui penaiktarafan aset-aset utama sedia ada serta kawasan sekitarnya, di samping pengenalan komponen baharu merangkumi kediaman, hospitaliti dan gaya hidup, SA Sentral berhasrat untuk menjenamakan semula pusat bandar Shah Alam sebagai destinasi bandar yang bertenaga, berdaya huni dan mampan dari segi ekonomi untuk generasi akan datang. Dalam kerangka inilah, Aneka Walk direka untuk menjadi hab dinamik yang menggabungkan perniagaan, budaya, hiburan dan komuniti dalam satu ruang moden yang lebih komersial.
Terletak di pusat bandar Shah Alam, Aneka Walk menawarkan akses langsung dan bersambung ke beberapa mercu utama bandar, termasuk Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Shah Alam Convention Centre.
Lokasinya yang hanya 150 meter dari Stesen LRT 3 Dato’ Menteri menjadikannya destinasi yang sangat mudah diakses oleh pengguna harian, pelancong dan komuniti setempat.
Binaan laluan pejalan kaki mesra pengguna serta sambungan berbumbung memastikan keselesaan pengunjung sepanjang tahun.
Rekaan ikonik dan teknologi pintar
Merangkumi keluasan 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter, bumbung Aneka Walk direka sebagai covered boulevard yang melindungi pengunjung daripada hujan dan haba sambil mengekalkan pencahayaan semula jadi.
Penambahbaikan reka bentuknya memastikan laluan yang lebih selesa, selamat dan sesuai digunakan sebagai ruang awam sepanjang tahun.
Rekaan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengguna, malah mengintegrasikan teknologi pintar seperti analitik CCTV & AI untuk keselamatan awam, peranti fizikal bagi pemantauan kualiti udara, suhu dan kelembapan, serta sambungan gentian optik berkelajuan tinggi.
Pendekatan ini menyokong penjimatan tenaga, karbon rendah dan operasi yang mampan serta kos efektif, sejajar dengan aspirasi pembangunan SA Sentral sebagai pusat bandar masa hadapan.
Aneka Walk menempatkan lebih 140 ruang niaga yang sesuai untuk pelbagai konsep daripada pelbagai jenama, butik eksklusif hingga kedai pop-up kreatif.
Dengan kapasiti menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa, ia turut berfungsi sebagai hab acara dan budaya, menawarkan ruang khas untuk persembahan langsung, pameran seni, pertunjukan budaya serta aktiviti komuniti dan korporat.
Pengunjung boleh menikmati pelbagai tawaran menarik merangkumi:
Runcit: Gabungan jenama mapan, perniagaan tempatan dan konsep pop-up.
Makanan & Minuman (F&B): Pilihan kulinari tempatan dan antarabangsa yang unik.
Budaya & Seni: Ruang yang meraikan warisan, seni kreatif dan hiburan secara langsung.
Aneka Walk menyasarkan milenial bandar dan Gen Z, keluarga dan komuniti tempatan, serta peminat runcit dan makanan yang mencari pengalaman baharu dan ‘Instagrammable’.
Selain itu, ia turut menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, start-up, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan kreatif, penganjur acara serta pengguna harian termasuk pekerja pejabat dan pengguna LRT.
Kenapa Aneka Walk?
Dengan lokasi strategik di SA Sentral, konsep gaya hidup dan hiburan yang dinamik, peluang perniagaan yang luas serta penekanan kepada kemampanan dan aksesibiliti, Aneka Walk bersedia menjadi nadi baharu aktiviti sosial, budaya dan ekonomi Shah Alam.
Aneka Walk bukan sekadar destinasi, ia adalah pengalaman bandar moden yang menghubungkan komuniti, kreativiti dan kehidupan.







