SA Sentral capai 20 peratus kemajuan, pemangkin baharu pusat bandar Shah Alam

25 Feb 2026, 12:31 PM
SA Sentral capai 20 peratus kemajuan, pemangkin baharu pusat bandar Shah Alam

SHAH ALAM, 25 FEB: Projek pembangunan bersepadu SA Sentral kini mencapai 20 peratus kemajuan dan berada pada landasan tepat, sekali gus menjadi pemangkin baharu bagi transformasi pusat bandar Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek dengan pelan jangka panjang tujuh tahun itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan termasuk sambutan tempahan jualan yang tinggi.

Menurut beliau, pembangunan itu mampu digabungkan secara strategik dengan aset sedia ada seperti Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Plaza Alam Sentral bagi mewujudkan ekosistem komersial dan gaya hidup yang lebih komprehensif.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) di Aneka Walk @ SA Sentral, Shah Alam pada 25 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Alam Sentral kini dalam proses naik taraf dan dijangka siap selepas Julai, sekali gus memperkukuh daya tarikan kawasan ini. Kehadiran Grand Mercure Hotel Shah Alam di Plaza Perangsang yang disasar beroperasi Ogos nanti turut memberi nilai tambah kepada kemudahan penginapan bertaraf antarabangsa di bandar raya ini.

“Gabungan pusat konvensyen, peruncitan, elemen gaya hidup serta kemudahan riadah diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat, selain menjadikan Shah Alam destinasi pilihan pelancong ke Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan FESTIRA 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Dato’ Mahmud Abbas.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (dua, kanan) merasmikan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) di Aneka Walk @ SA Sentral, Shah Alam pada 25 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

SA Sentral merupakan projek pembangunan bercampur PKNS dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion, dilaksanakan secara berperingkat.

Projek berkeluasan 145 ekar itu dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan, merangkumi komponen pembangunan termasuk Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, Aneka Walk, Kompleks PKNS Shah Alam dan beberapa kawasan lain di Seksyen 14.

Pembangunan ini bakal mengubah landskap bandar Shah Alam melalui reka bentuk inovatif, amalan lestari serta penerapan ciri bandar pintar dan rendah karbon, menjadikan kawasan ini pusat gaya hidup dan ekonomi yang lebih dinamik.