Pemandu lori maut, tujuh cedera kemalangan bas, dua lori di Lebuhraya Plus

5 Feb 2026, 12:09 AM
Pemandu lori maut, tujuh cedera kemalangan bas, dua lori di Lebuhraya Plus

SHAH ALAM, 5 FEB: Pemandu lori maut, tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan di Hulu Selangor pagi tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mangsa yang maut adalah pemandu lori sebuah syarikat keselamatan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata, kelindan lori berusia 39 tahun patah tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

"Pemandu bas ekspres tersepit dan cedera di kepala serta kaki kiri manakala tiga penumpang lelaki cedera, seorang kanak-kanak perempuan alami pendarahan di hidung. Pemandu treler cedera di tengkuk," katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu dilaporkan 31 mangsa terlibat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua lori.

Bomba menerima panggilan pada jam 5.12 pagi dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta Rawang bergegas ke lokasi.