Dua wanita maut, kereta terbakar kemalangan dengan lori

9 Okt 2026, 12:40 PM
Dua wanita maut, kereta terbakar kemalangan dengan lori

SHAH ALAM, 9 OKT: Dua wanita maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbakar susulan kemalangan dengan sebuah lori di Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, Batu Pahat, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan berkenaan sebelum ditemukan meninggal dunia.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.25 petang.

"Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kebakaran kereta berlaku akibat kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan, iaitu Perodua Myvi dan sebuah lori.

"Perodua Myvi itu terbakar kira-kira 80 peratus, manakala dua mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tiga individu lain yang berada di dalam lori berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan salur bantu mula dan bekalan air daripada tangki jentera bagi memadamkan kebakaran.

Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.