SHAH ALAM, 2 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca panas dan kurang hujan dijangka berterusan di kawasan Semenanjung terutama di utara Semenanjung sehingga Selasa depan.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ribut petir untuk tempoh singkat masih berpotensi berlaku, manakala kawasan barat Semenanjung dan beberapa lokasi di Sabah serta Sarawak berpotensi dilanda ribut petir.
Sebelum ini, MetMalaysia meramalkan cuaca panas dan kurang hujan di Semenanjung terutama di utara Semenanjung berlaku sehingga 31 Januari ini.
Media sebelum ini melaporkan empat daerah di Kedah disenarai pada Tahap 1 atau berjaga-jaga susulan keadaan cuaca panas berterusan, menurut status terkini cuaca yang dikeluarkan baru-baru ini.
Kawasan itu membabitkan Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu yang masing-masing merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Tahap berjaga-jaga ditetapkan apabila suhu maksimum harian mencapai paras berkenaan secara konsisten dan berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan awam serta aktiviti harian khususnya membabitkan golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.


