Cuaca panas, kurang hujan diramal di Semenanjung hingga 31 Januari

26 Jan 2026, 4:38 AM
Cuaca panas, kurang hujan diramal di Semenanjung hingga 31 Januari

SHAH ALAM, 26 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca panas dan kurang hujan di Semenanjung berterusan sehingga 31 Januari ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan analisis model ramalan cuaca, situasi tersebut dijangka berlaku di kebanyakan tempat terutamanya di utara Semenanjung.

“Sementara itu, penumpuan angin dijangka berlaku di Sabah, WP Labuan dan Sarawak bermula pada 29 hingga 31 Januari 2026.

“Keadaan ini berpotensi membawa ribut petir berserta hujan lebat dalam jangka masa yang lebih panjang di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Met Malaysia menjangkakan cuaca panas dan kurang hujan berlaku di kebanyakan kawasan seluruh negara, terutama di utara Semenanjung sehingga 25 Januari.

Dr Mohd Hisham dilapor berkata suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah sehingga 34 darjah Celcius dalam tempoh berkenaan.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.