SHAH ALAM, 4 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerusi Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Operasi Halangan Tempat Awam di sekitar Bandar Mahkota Cheras bagi memastikan laluan awam tidak disalah guna oleh premis perniagaan.
Operasi itu melibatkan Jalan Temenggung 19/9, Jalan Temenggung 3/9 dan Jalan Mahkota Residence 1 susulan aduan serta pemantauan yang mendapati berlaku halangan laluan awam.
Pemeriksaan mendapati tiga premis restoran melakukan kesalahan dengan meletakkan kerusi, meja dan peralatan perniagaan sehingga menghalang laluan serta menjejaskan keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil terhadap premis terlibat di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Kesemua barangan yang disita dibawa ke Stor Simpanan Barang Sitaan Jabatan Penguatkuasaan MPKj untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan MPKj di Facebook.
Menurut MPKj, operasi penguatkuasaan seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi membanteras isu halangan tempat awam.
MPKj turut menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.


