MPKL laksana operasi bersepadu banteras pembuangan sampah haram

4 Feb 2026, 6:28 AM
MPKL laksana operasi bersepadu banteras pembuangan sampah haram
MPKL laksana operasi bersepadu banteras pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 4 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan operasi bersepadu bagi menangani pembuangan sampah secara haram yang menjejaskan persekitaran serta kesejahteraan penduduk.

Operasi berkenaan melibatkan kawasan Jalan Pasar dan Jalan Bambu di Kampung Kanchong Darat, dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kerja pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Menurut kenyataan MPKL di Facebook, operasi itu dilaksanakan menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) serta Jabatan Penguatkuasaan (JPK), dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyediakan jentera jengkaut. KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) pula menyumbangkan empat unit tong roro bagi kerja pengumpulan dan pelupusan sisa.

MPKL memaklumkan, pelaksanaan operasi tersebut bertujuan membersihkan kawasan yang terjejas akibat pembuangan sampah haram, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan kondusif untuk penduduk setempat.

“Operasi ini sebahagian daripada usaha berterusan MPKL dalam memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

MPKL menegaskan pihaknya memandang serius isu pembuangan sampah haram dan akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan serta operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi membendung masalah berkenaan.

Orang awam turut diingatkan supaya mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara kebersihan kawasan perbandaran.

MPKL turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat serta penduduk setempat atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi berkenaan