SHAH ALAM, 5 FEB: 45 institusi ibadah melibatkan 15 masjid dan 30 surau di seluruh Selangor menerima agihan wakaf fisabilillah sepanjang tahun 2025, menurut Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
Daripada jumlah itu, daerah Petaling mencatat penerimaan tertinggi iaitu 14 institusi ibadah, melibatkan dua masjid dan 12 surau.
Pecahan agihan mengikut daerah menunjukkan Kuala Selangor dan Kuala Langat masing-masing merekodkan enam dan lima penerima, manakala Klang melibatkan lima surau.
Daerah lain yang turut menerima agihan ialah Gombak (empat surau), Hulu Langat (dua masjid, satu surau), Sabak Bernam (satu masjid, satu surau), Hulu Selangor (satu masjid, satu surau) serta Sepang (satu surau).
Antara projek masjid yang direkodkan menerima manfaat wakaf ialah pembinaan Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam, Shah Alam bernilai RM25,748,243 serta Masjid Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dengan kos RM9,697,900.
Sementara itu, bagi kategori surau, dua projek pembinaan yang direalisasikan iaitu Surau Al-Muqarrabin, Alam Suria, Puncak Alam bernilai RM1,913,876 dan Surau Al-Jannah, Bandar Rimbayu, Kuala Langat berjumlah RM1,662,084.

Jumlah peruntukan keseluruhan agihan wakaf fisabilillah bagi tahun lalu ialah RM4,076,873 yang diagihkan kepada 15 masjid, 30 surau, 55 sekolah, dan 10 institusi lain.
Daerah Petaling menerima agihan wakaf fisabilillah tertinggi bernilai RM1.1 juta, diikuti Klang (RM550,450) dan Kuala Langat (RM543,000).
Terdahulu Pengerusi PWS, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir membentangkan dialog ini sempena Chairman’s Dialogue: Sinergi Wakaf Selangor Bersama GLC & Korporat yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel and Suites, Shah Alam, pada 3 Februari.
PWS memaklumkan, program itu menjadi platform strategik bagi memperkukuh kefahaman, kepercayaan serta sinergi pembangunan wakaf di peringkat negeri.
"Dialog itu menekankan peranan wakaf sebagai instrumen ekonomi sosial yang relevan, mampan dan mampu digerakkan secara strategik bersama ekosistem korporat pada masa kini.
"Pendekatan ini selari dengan aspirasi PWS untuk mengarusperdanakan wakaf dalam landskap pembangunan ekonomi dan sosial Selangor secara inklusif dan berdaya tahan," menurut agensi itu lagi.


