Tiga notis dikeluarkan, MPKL perketat penguatkuasaan sampah haram

3 Feb 2026, 11:00 AM
Tiga notis dikeluarkan, MPKL perketat penguatkuasaan sampah haram

SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan tiga notis kesalahan terhadap individu yang didapati melakukan pembuangan sampah secara haram di sekitar Jalan Akasia, Jenjarom hasil rondaan dan pemantauan penguatkuasaan baru-baru ini.

MPKL memaklumkan, dua notis kesalahan dikeluarkan pada 24 Januari, manakala satu lagi notis dikeluarkan pada 25 Januari, menjadikan keseluruhan tiga notis kesalahan dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 3(a), Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MDKL 2007 berkaitan kesalahan membuang sampah di mana-mana tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPKL menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan rondaan dan pemantauan secara berkala bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram serta memastikan kebersihan persekitaran awam sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram diminta menyalurkan aduan melalui Sistem Aduan Rasmi MPKL bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

"Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian 012-300 4217," katanya.