EXCO: Selangor tawar latihan semikonduktor percuma bernilai RM10,000

2 Feb 2026, 1:18 PM
EXCO: Selangor tawar latihan semikonduktor percuma bernilai RM10,000
EXCO: Selangor tawar latihan semikonduktor percuma bernilai RM10,000
EXCO: Selangor tawar latihan semikonduktor percuma bernilai RM10,000

SHAH ALAM, 2 FEB: Kerajaan Selangor mempelawa individu yang sedang mencari peluang pekerjaan menyertai industri semikonduktor menerusi program latihan percuma bernilai sehingga RM10,000.

EXCO Pelaburan Selangor Ng Sze Han berkata inisiatif itu bertujuan melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang berimpak tinggi sejajar aspirasi menjadikan Malaysia hab reka bentuk cip bertaraf dunia.

Menurutnya, program berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu National Semiconductor Excellence Program (NSEP) dan Global Semiconductor Exchange Program (GSEP).

“NSEP ditawarkan kepada graduan baharu serta rakyat Malaysia yang menganggur berusia bawah 30 tahun. Peserta akan mempelajari Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) atau sistem terbenam (embedded systems) di Cyberjaya, sebelum memulakan kerjaya dengan gaji permulaan antara RM4,000 hingga RM8,000.

“Manakala menerusi GSEP, peserta akan dihantar ke Chennai, India bagi menguasai seni bina RISC-V, yang merupakan masa depan dunia cip.

"Chennai dipilih kerana ia merupakan ‘medan pertempuran teras’ global bagi teknologi semikonduktor. Peserta akan terlibat dalam projek dunia sebenar yang memberi kelebihan elit dalam industri,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Beliau berkata, tawaran tersebut turut terbuka kepada individu yang sudah bekerja atau bukan graduan, selagi mempunyai latar belakang STEM, tanpa had umur.

“Malaysia sedang menuju ke arah menjadi hab reka bentuk cip bertaraf dunia. Jangan ketinggalan,” katanya.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang asemedu.com/ybng-nsep-gsep-training.