KUALA LUMPUR, 15 OKT: Syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan, Enygma Technologies Sdn Bhd (Enygma AI) dinobatkan sebagai pemenang utama kategori Deep-X pada Selangor Triple Accelerator Programme 2026, semalam.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Enygma AI, Rashad Tajuddin berkata kemenangan itu di luar jangkaan, selain menyifatkan penyertaan dalam pertandingan berkenaan sebagai pengalaman berharga untuk mengembangkan syarikatnya.
“Kami bermula sebagai syarikat pemula teknologi AI pada 2022. Ketika itu penggunaannya belum meluas. Sekarang, kami lebih fokus kepada perkhidmatan pemeriksaan visual AI.
“Kami juga menggunakan peralatan seperti dron, robotik dan aplikasi lain. Sepanjang pertandingan, kami tidak berdepan cabaran besar kerana anggap ini sebagai platform untuk terus berkembang,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, pengasas E23 Sdn Bhd, EE Wui Yang yang memenangi kategori Token-X mengakui berdepan cabaran untuk menjelaskan teknologi infrastruktur digital ditawarkan syarikatnya kepada barisan juri.
Menurutnya, E23 Sdn Bhd yang memulakan operasi tahun lalu menyediakan infrastruktur pembayaran berasaskan stablecoin, sistem tokenisasi serta rangkaian blok rantai Layer-1 berdaulat (sovereign) pasca-kuantum.
“Cabaran kami ketika pertandingan adalah bagaimana mahu meyakinkan juri kerana saya harus akui teknologi yang kami gunakan masih baharu di Malaysia.
“Syarikat kami juga masih baharu dan saya harap dengan kemenangan ini kami mendapat peluang perniagaan yang lebih luas,” katanya.

Selangor Triple Accelerator Programme 2026 Final Demo Day anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam, disempurnakan EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Enygma AI dan E23 Sdn Bhd masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta peluang menyertai Hong Kong FinTech Week yang dijadual berlangsung bulan depan.






