Hampir 270,000 PMKS di Selangor, jumlah dijangka meningkat

14 Okt 2026, 1:00 PM
Hampir 270,000 PMKS di Selangor, jumlah dijangka meningkat
Hampir 270,000 PMKS di Selangor, jumlah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kira-kira satu daripada empat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia beroperasi di Selangor, dengan jumlah menghampiri 270,000 perniagaan dan dijangka terus meningkat.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata angka itu mencerminkan peranan penting Selangor sebagai antara hab utama pertumbuhan PMKS di negara ini, disokong ekosistem perniagaan kondusif dan peluang pelaburan yang luas.

“Kira-kira satu daripada empat PMKS di Malaysia terletak di Selangor. Jumlah ini menghampiri 270,000 perniagaan.

“Inilah kilang milik keluarga, jenama makanan dan peruncitan, serta syarikat pemula teknologi yang menyediakan pekerjaan kepada rakyat kita dan terus menggerakkan ekonomi.

“Tugas kita adalah menghapuskan halangan yang membataskan potensi perniagaan yang baik, termasuk kekurangan akses kepada pembiayaan, pasaran, bakat dan rangkaian perniagaan. Itulah yang dilaksanakan oleh program ini,” katanya.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han bergambar bersama peserta dan pengunjung Selangor Triple Accelerator Programme 2026 Final Demo Day di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Selangor Triple Accelerator Programme 2026 Final Demo Day di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Sze Han berkata program kohort ke-14 itu menerima 511 permohonan, dengan hanya 90 syarikat pemula berjaya mara ke peringkat Showcase Days yang bermula Ogos lalu.

Menurutnya, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) menerima lebih 2,200 permohonan serta membantu 470 syarikat pemula sepanjang penganjuran program berkenaan, dengan nilai pembiayaan mencecah RM216 juta.

“Pesanan saya kepada setiap pengasas syarikat dan setiap PMKS di Selangor amat jelas, Kerajaan Negeri sentiasa bersama anda. Pintu SIDEC sentiasa terbuka, begitu juga pintu saya,” katanya.

Selangor Triple Accelerator Programme 2026 mempertandingkan tiga kategori iaitu Deep-X, Retail-X dan Token-X, dengan pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Pemenang bagi kategori Deep-X dan Token-X turut berpeluang menyertai Hong Kong FinTech Week pada bulan depan, manakala pemenang Retail-X akan dibawa ke Shanghai, China serta menerima latihan TikTok Shop di syarikat teknologi multinasional ByteDance.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.