13 persatuan kuil di Kuala Langat terima sumbangan Kerajaan Negeri

2 Feb 2026, 1:51 AM
13 persatuan kuil di Kuala Langat terima sumbangan Kerajaan Negeri
13 persatuan kuil di Kuala Langat terima sumbangan Kerajaan Negeri

KUALA LANGAT, 2 FEB: Sebanyak 13 persatuan kuil di daerah Kuala Langat menerima sumbangan Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) bagi membantu pengurusan rumah ibadat serta pelaksanaan aktiviti komuniti setempat.

EXCO Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Masyarakat, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, V Papparaidu berkata sumbangan berkenaan diharap dapat membantu melancarkan pengurusan rumah ibadat serta menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti setempat secara lebih teratur dan berkesan.

“Saya berkesempatan mengunjungi Kuil Arulmigu Sri Subramaniar, Telok Datok, Banting bagi melihat sendiri suasana perayaan Thaipusam yang disambut penuh tertib dan semangat kebersamaan oleh masyarakat Hindu setempat.

“Kehadiran penganut bersama ahli keluarga memeriahkan suasana kuil dalam keadaan yang berdisiplin serta mencerminkan nilai keagamaan dan keharmonian masyarakat,” katanya menerusi Facebooknya, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin tempatan yang hadir bersama-sama meraikan sambutan tersebut, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan, saling menghormati dan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang menjadi kekuatan Selangor.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor terus komited membantu semua rumah ibadat tanpa meminggirkan mana-mana kaum selaras dengan prinsip kebebasan beragama dan keharmonian sosial.

Terdahulu, sebanyak 54 kuil di lapan daerah di Selangor menerima sumbangan berjumlah RM579,000 menerusi LIMAS fasa satu, yang diserahkan secara simbolik oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Thaipusam peringkat negeri di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves.

Amirudin berkata peruntukan LIMAS bagi rumah ibadat bukan Islam ditingkatkan kepada RM8 juta pada 2026 berbanding RM6 juta pada tahun sebelumnya, sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap keperluan semua komuniti.

Beliau menegaskan kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan sokongan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.

Dalam pada itu, Papparaidu memaklumkan penyerahan sumbangan LIMAS fasa dua dijadualkan sempena sambutan Chitirai Puthandu sebagai kesinambungan usaha memastikan keperluan komuniti bukan Islam terus diberi perhatian.

Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM8 juta melalui LIMAS bagi tujuan pembinaan semula, pemulihan rumah ibadat usang serta pelaksanaan program pendidikan dan perpaduan sosial.

Untuk rekod, sebanyak 58 kuil di seluruh Selangor sudah menjalani proses pemutihan.