SHAH ALAM, 1 FEB: Kekecohan di Batu Caves membabitkan wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dipercayai berpunca daripada tindakannya membuat tuduhan jenayah dan melemparkan kata-kata kesat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian itu berlaku semalam pada jam 5.30 pagi di kawasan gerai jualan dekat hadapan pintu utama Kuil Sri Subramaniar Swamy.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita tempatan itu merakam video pengadu, membuat tuduhan jenayah dan melemparkan kata-kata kesat, sehingga mencetuskan kekecohan awam.
“Tindakan suspek membuat tuduhan jenayah dan provokasi secara terbuka telah menyebabkan suasana menjadi tegang di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih serius apabila suspek enggan bekerjasama dengan polis dan terus melakukan provokasi sehingga menghalang tugas penjawat awam.
Susulan itu, polis menahan suspek dan mendapatkan perintah reman selama satu hari bermula 31 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
Menurut Noor Ariffin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186, 504 dan 509 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam, mengaibkan serta mencetuskan ketenteraman awam.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat tuduhan tanpa asas serta menjaga tatasusila di tempat awam, khususnya semasa acara keagamaan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja mencetuskan kekecohan atau menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan identiti atau jawatan rasmi untuk kepentingan peribadi sehingga melanggar undang-undang.
Polis meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Prakash A/L Sithambaram di 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222.
Terdahulu, media melaporkan wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ ditahan polis selepas dipercayai mencetuskan kekecohan di Batu Caves, semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penahanan dibuat susulan kejadian di luar jangka yang melibatkan pertelingkahan dengan peniaga dan berpotensi menimbulkan kekecohan awam.


