Selangor bantu rumah ibadat semua kaum, 54 kuil terima RM579,000

1 Feb 2026, 12:00 AM
Selangor bantu rumah ibadat semua kaum, 54 kuil terima RM579,000
Selangor bantu rumah ibadat semua kaum, 54 kuil terima RM579,000
Selangor bantu rumah ibadat semua kaum, 54 kuil terima RM579,000

GOMBAK, 1 FEB: Sebanyak 54 kuil di lapan daerah di Selangor menerima sumbangan berjumlah RM579,000 menerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS).

Penyerahan simbolik sumbangan LIMAS fasa satu itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Thaipusam peringkat Selangor di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, malam tadi.

Amirudin berkata pentadbiran negeri komited membantu semua rumah ibadat tanpa meminggirkan mana-mana kaum, selaras dengan prinsip keharmonian dan kebebasan beragama.

Sehubungan itu, peruntukan LIMAS bagi rumah ibadat bukan Islam ditingkatkan kepada RM8 juta pada 2026 berbanding RM6 juta pada tahun sebelumnya.

“Seperti yang saya tekankan dalam ucapan tahun baharu, negeri ini milik semua rakyat. Sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab kepada semua. Jika umat Islam memerlukan peruntukan untuk sekolah agama dan masjid, kita sediakan.

“Begitu juga rumah ibadat agama lain. Apabila memerlukan sokongan, kerajaan akan membantu. Sebab itu peruntukan LIMAS ditambah RM2 juta pada 2026,” katanya.

Sementara itu, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata sumbangan berkenaan diharap dapat membantu pengurusan kuil menyediakan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan teratur, selain melaksanakan program bermanfaat untuk penganut.

Beliau berkata penyerahan sumbangan fasa dua akan dilaksanakan sempena Sambutan Chitirai Puthandu sebagai kesinambungan usaha Kerajaan Negeri memastikan keperluan komuniti bukan Islam terus diberi perhatian.

Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM8 juta melalui LIMAS bagi tujuan pembinaan semula, pemulihan rumah ibadat usang serta pelaksanaan program pendidikan dan perpaduan sosial.

Terdahulu, lebih 2.5 juta pengunjung dijangka hadir ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam tahun ini yang disambut pada 1 Februari.