58 kuil selesai pemutihan, tiada kompromi jika langgar undang-undang

1 Feb 2026, 1:00 AM
58 kuil selesai pemutihan, tiada kompromi jika langgar undang-undang
58 kuil selesai pemutihan, tiada kompromi jika langgar undang-undang

GOMBAK, 1 FEB: Sebanyak 58 kuil di Selangor selesai menjalani proses pemutihan dan ditempatkan di tapak yang dikhaskan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) setakat ini.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS), V Papparaidu berkata pelbagai pendekatan diambil bagi menyelesaikan isu penempatan rumah ibadat, termasuk perobohan struktur yang tidak memenuhi syarat.

Menurutnya, terdapat kuil yang terpaksa dirobohkan kerana dibina di atas tanah milik pihak lain atau melanggar peruntukan undang-undang, manakala kuil yang layak pula ditempatkan semula secara teratur dan disahkan mengikut lunas perundangan.

“Dalam LIMAS, banyak isu dibincangkan dan diselesaikan. Jika sesuatu binaan tidak mematuhi syarat, kita betulkan. Jika memang tidak boleh, tindakan perobohan terpaksa dilakukan, terutama jika melibatkan pencerobohan tanah pihak lain.

“Namun, jika tapak itu sesuai dan mendapat kelulusan, tiada masalah untuk diberi kebenaran. Setiap permohonan yang dikemukakan kepada pejabat Menteri Besar tidak pernah ditolak, cuma perlu melalui penilaian teknikal melibatkan PBT, pejabat daerah, JKR dan JPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Thaipusam peringkat Selangor di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, malam tadi.

Papparaidu turut menjelaskan terdapat kuil berusia lebih 100 tahun yang menerima bantuan kerajaan selepas disahkan statusnya, termasuk sebuah kuil di Klang.

“Namun, binaan yang jelas melanggar undang-undang, seperti mendirikan kuil bagi melindungi aktiviti perniagaan haram di atas tanah agensi kerajaan, tidak boleh diterima. Ia menyalahi undang-undang dan prinsip agama,” katanya.

Terdahulu, beliau menegaskan semua isu berkaitan penempatan semula kuil hanya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa LIMAS bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara sistematik dan telus.

Menurutnya, penyelesaian yang ditawarkan kerajaan negeri perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan tidak disalah tafsir sebagai tiada bantuan.