Polis bebaskan 'Inspektor Sheila' dengan jaminan selepas reman sehari

1 Feb 2026, 9:12 AM
Polis bebaskan 'Inspektor Sheila' dengan jaminan selepas reman sehari

SHAH ALAM, 1 FEB: Seorang pegawai polis wanita yang digantung tugas direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, selepas mencetuskan kekecohan dan bertengkar dengan peniaga di kawasan Batu Caves sempena sambutan Thaipusam, semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, berkata penahanan wanita berkenaan, dikenali sebagai Sheila, dilakukan bagi mengelakkan situasi tidak terkawal.

"Kejadian membabitkan pertengkaran Sheila dengan beberapa peniaga yang berpotensi menimbulkan kekecohan awam.

"Tindakan penahanan diambil untuk mengawal keadaan," katanya pada sidang akhbar Program Community Policing Thaneeri Panthal PDRM 2026 di Kuil Subramaniam Swamy, Batu Caves, hari ini.

Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan ‘Inspektor Sheila’ digari oleh dua anggota polis wanita selepas dipercayai mencetuskan kekecohan di sekitar kawasan kuil Batu Caves.

Menurut Mohd. Khalid, penahanan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mengulas status wanita tersebut, beliau berkata Sheila pernah berkhidmat dengan pasukan polis sebelum ini, namun mempunyai beberapa isu berkaitan kesihatan.

"Perkara ini masih dalam siasatan dan kita menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan undang-undang selanjutnya," katanya.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan wanita tersebut digari oleh dua anggota polis wanita selepas dipercayai mencetuskan kekecohan di sekitar kawasan kuil Batu Caves.

Dalam rakaman berkenaan, ‘Inspektor Sheila’ dilihat memakai baju dan seluar pendek berwarna hitam ketika dibawa pergi oleh polis.

Dalam satu lagi video yang turut mencuri perhatian orang ramai, wanita berkenaan dilihat sempat bercakap lantang kepada orang awam selepas digari polis.

Beliau turut mendakwa pihak polis cemburu terhadap popularitinya dalam kalangan media dan orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Khalid memaklumkan kira-kira 1,400 petugas keselamatan dikerahkan bagi mengawal keselamatan sepanjang 24 jam sepanjang sambutan Thaipusam di sini.

Menurut beliau, operasi keselamatan itu turut dibantu pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.

"Alhamdulillah, setakat ini tiada kejadian serius dilaporkan. Tindakan awal diambil bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti pergaduhan kecil yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung direkodkan menghadiri sambutan Thaipusam tahun ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail ketika mengadakan lawatan kerja sempena Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam 2026 di perkarangan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves. Foto Facebook Polis Gombak