KUALA LUMPUR, 1 FEB: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus kepada pengunjung Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2026 yang berlangsung dari 30 Januari hingga 3 Februari di Pasar Seni.
Eksekutif Jualan Korporat IBDE Muhammad Nazmi Tusimun berkata pihaknya menawarkan pendaftaran keahlian percuma menerusi inisiatif “Bukuwan IBDE” dengan pelbagai ganjaran dan potongan harga menarik sempena penyertaan di KLAB 2026.
Menurut beliau, ahli berdaftar layak menikmati diskaun 20 peratus bagi pembelian tiga buku dan ke atas, manakala potongan 15 peratus diberikan untuk pembelian satu hingga dua buku. Pengunjung awam pula tetap menerima diskaun umum 10 peratus.
“Pendaftaran ahli ‘Bukuwan IBDE’ adalah percuma. Ahli juga akan menerima penanda buku, pelekat serta kalendar mini sebagai hadiah,” katanya ketika ditemui di KLAB 2026.

Menurut Nazmi, antara tawaran istimewa lain kombo karya Ghazali Muda yang menghimpunkan 12 jilid buku dengan harga promosi RM120 berbanding harga asal RM150.
Pada masa sama, Nazmi memberitahu dua naskhah paling laris setakat ini buku terjemahan Basikal Curi dan Pedro Paramo yang diterjemahkan penulis dari Taiwan menerusi kolaborasi IBDE bersama Kementerian Kebudayaan negara itu.
“Setakat ini, jualan sudah mencecah kira-kira RM5,000. Kehadiran pengunjung juga meningkat berikutan cuti umum yang menarik lebih ramai datang ke acara ini,” ujarnya.
Kongsinya IBDE turut menjalinkan kerjasama dengan pereka grafik Saharil Conteng bagi menghasilkan ilustrasi khas beruang yang digunakan sebagai elemen tarikan visual di reruai mereka sepanjang KLAB berlangsung.





