Buku Anwar diterjemah IBDE, jangka dilancar sempena PBAKL 2026

1 Feb 2026, 11:23 AM
Buku Anwar diterjemah IBDE, jangka dilancar sempena PBAKL 2026

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) memperoleh hak cipta dan hak penerbitan eksklusif bagi terjemahan buku Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times.

Eksekutif Jualan Korporat IBDE, Muhammad Nazmi Tusimun, berkata proses terjemahan buku tersebut kini telah mencapai kira-kira 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya untuk dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada Mei depan.

“IBDE diberikan hak eksklusif untuk terjemahan dan penerbitan karya perdana menteri. Setakat ini, proses terjemahan sudah siap sekitar separuh dan berjalan mengikut jadual untuk pelancaran di PBAKL 2026 yang dijangka 29 Mei depan,” katanya.

Ditemui pada Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2026, Nazmi memberitahu IBDE turut giat menterjemah tiga lagi karya antarabangsa iaitu Kedukaan Keajaiban, Orang Barat Pandai Orang Asia Pandai dan Riwayat Asal Asia Selatan yang kini dalam peringkat penyediaan.

“Pada tahun ini, kami mempunyai dua buku terjemahan baharu iaitu Kembara Ke Angkordan Gelut Hanoi telah pun berada di pasaran sejak Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025.

“Kedua-dua judul ini diterbitkan sempena sidang kemuncak ASEAN yang berlangsung sebelum ini, insya-Allah semua buku ini juga akan dipasarkan di PBAKL 2026 nanti,” kongsinya.