SHAH ALAM, 14 MEI: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menerbitkan dua buku riwayat cendekiawan Islam iaitu Ibnu Khaldun dan Al-Farabi menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Menurut ketua pegawai eksekutifnya, Ibnu Khaldun diiktiraf bapa sosiologi dan falsafah sejarah dunia manakala Al-Farabi pula dikenali sebagai 'guru kedua' selepas Aristotle dalam tradisi falsafah dunia.
Mohd Farhan Nor Affandi berkata penerbitan itu bertujuan memperkenal khazanah intelektual Islam kepada generasi muda, apatah lagi kedua-dua tokoh itu berpengaruh sepanjang zaman.

“Generasi muda hari ini lebih mengenali ahli falsafah Barat seperti Socrates, Plato dan Friedrich Nietzsche tetapi tidak tahu bahawa Al-Farabi sudah membahaskan falsafah politik dan etika berabad-abad sebelum tokoh itu popular di Barat.
“Sudah tiba masanya kita tidak lagi hanya membaca pemikir Barat, tetapi kembali kepada akar ilmu kita sendiri,” katanya kepada Media Selangor.
Dua buku tersebut berjudul Ibnu Khaldun: Riwayat Cendekiawan Agung dan Al-Farabi: Pemikir Sanjungan Timur dan Barat. Naskhah itu boleh didapati di PBAKL mulai 29 Mei hingga 7 Jun.

Menurut Mohd Farhan lagi, buku riwayat Ibnu Khaldun karya sejarawan terkemuka, Robert Irwin terbitan Prince-ton University Press membawa pembaca memahami tradisi intelektual Islam.
Beliau memberitahu buku Al-Farabi pula hasil kajian lebih 50 tahun yang dibuat sarjana muslim tempatan, Osman Bakar yang turut berperanan sebagai penyunting edisi bahasa Melayu berkenaan.
“Ini bukan sesuatu yang biasa dalam penerbitan terjemahan dan ia memastikan kesahihan serta ketepatan setiap istilah falsafah yang digunakan,” katanya.
Jelasnya, proses terjemahan mengambil masa sekitar setahun ekoran penelitian mendalam bagi mengekal gaya akademik dan naratif asal tanpa mengorbankan kelancaran bahasa Melayu.

“Penterjemah, Dato’ Dr Baharudin Ahmad perlu memastikan setiap istilah yang diterjemah secara konsisten dan tepat tanpa mengubah maksud asal," katanya.
IBDE yang menerima geran daripada Kerajaan Selangor rancak menterjemah pelbagai karya bermutu tinggi seterusnya memperkaya perbendaharaan ilmu dan khazanah bacaan berbahasa Melayu.
Ditubuh pada 2016, syarikat berkenaan menterjemah naskhah pelbagai genre antara agama, sejarah negarawan, politik, biografi tokoh, sastera, sains, falsafah dan budaya.









