Sakit sendi berpanjangan petanda masalah kesihatan serius

1 Feb 2026, 7:11 AM
Sakit sendi berpanjangan petanda masalah kesihatan serius
Sakit sendi berpanjangan petanda masalah kesihatan serius
Sakit sendi berpanjangan petanda masalah kesihatan serius

SHAH ALAM, 1 FEB: Sakit sendi sering dianggap sebagai masalah biasa, terutama apabila seseorang meningkat usia atau selepas melakukan aktiviti fizikal yang berat.

Namun begitu, tanggapan tersebut boleh mengelirukan kerana sakit sendi yang berpanjangan boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Pakar Perunding Rheumatologi dan Perubatan Dalaman Dr. Pradeep V. Ravindra Dass berkata sakit sendi yang berlarutan melebihi dua minggu tidak seharusnya dipandang ringan.

“Jika sakit berterusan lebih dua minggu, itu sudah menunjukkan sesuatu yang tidak normal. Apatah lagi jika mencecah enam minggu, ia hampir pasti menandakan masalah kesihatan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Jelas beliau, lebih membimbangkan kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan sendi yang kekal.

Menurut Dr. Pradeep, apabila sendi rosak, tulang boleh dihakis atau patah, dan pada tahap tersebut, tiada lagi rawatan ubat yang mampu memulihkan keadaan seperti sedia kala.

“Bila sendi dah rosak, tak ada ubat untuk ubati dia. Hanya pembedahan, dan hasilnya pun mungkin tak sama macam dulu,” katanya.

Jangan anggap sakit sendi perkara normal

Dr. Pradeep menjelaskan bahawa tidak semua sakit sendi boleh dianggap normal atau sekadar lenguh biasa. Sakit sendi yang tidak berkaitan penyakit lazimnya bersifat sementara dan akan pulih dalam tempoh singkat.

“Sakit sendi yang biasa ni lenguh-lenguh sahaja. Tak bengkak, tak panas dan selalunya hilang lepas dua tiga hari,” katanya.

Namun, sakit sendi akibat penyakit mempunyai ciri yang berbeza seperti rasa kaku, pergerakan yang terhad, bengkak dan panas pada sendi.

Katanya, antara tanda awal yang sering diabaikan ialah kekakuan sendi pada waktu pagi.

“Kalau bangun pagi rasa keras, susah nak gerakkan jari dan rasa itu berterusan lebih 30 minit, itu tanda awal penyakit radang. Ramai orang tak ambil serius sebab lepas gerak-gerak rasa okey, padahal itu permulaan penyakit,” ujarnya.

Ubat tahan sakit ibarat ‘pistol’

Salah satu kesilapan paling biasa dalam kalangan pesakit ialah kebergantungan kepada ubat tahan sakit tanpa mengetahui punca sebenar sakit sendi.

Dr. Pradeep menegaskan, ubat tahan sakit hanya membantu melegakan simptom sementara dan bukannya merawat punca sebenar penyakit.

Katanya, pengambilan ubat secara berterusan tanpa pemantauan doktor boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

“Ubat tahan sakit ni ibarat ‘pistol’. Bagi polis, dia selamatkan orang. Tapi bagi penyamun, dia binasakan orang. Sama juga dengan ubat, kalau salah guna, badan yang rosak,” katanya lagi.

Urut boleh buat sendi bertambah teruk

Selain ubat, rawatan urut juga sering menjadi pilihan apabila sakit sendi tidak berkurang. Namun menurut Dr. Pradeep, rawatan ini boleh memburukkan keadaan sekiranya dilakukan tanpa diagnosis yang tepat.

Beliau berkongsi pengalaman seorang pesakit yang mengalami sakit selepas bersukan dan memilih untuk berurut, sebelum kesakitannya menjadi semakin teruk.

“Lepas urut, sakit jadi lagi teruk. Bila buat MRI, semua koyak,” katanya, sambil menegaskan bahawa rawatan tanpa mengetahui punca sebenar boleh melambatkan rawatan dan meningkatkan risiko komplikasi.

Stress antara punca penyakit sendi

Selain faktor fizikal, Dr. Pradeep turut menekankan bahawa tekanan emosi dan gaya hidup moden memainkan peranan besar dalam kesihatan sendi, khususnya penyakit berkaitan autoimun.

Menurutnya, peningkatan tekanan hidup, kerja dan sosial pada masa kini menyumbang kepada peningkatan kes penyakit sendi, termasuk dalam kalangan golongan muda, sekali gus menuntut kesedaran awal dalam kalangan masyarakat.

“Stress meninggikan risiko penyakit autoimun. Stress mental ni sebenarnya lebih teruk,” jelas beliau.

Dr. Pradeep menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan sakit sendi yang berlarutan dan segera mendapatkan pemeriksaan doktor jika simptom mula menjejaskan kehidupan seharian.

“Kalau sakit sendi tu berlarutan dan dah ganggu nak pergi kerja atau buat aktiviti harian, jangan tunggu. Lagi lama tunggu, lagi rosak badan, dan boleh jadi kecacatan kekal,” tegas beliau.