Jutaan kunjungi Batu Caves sempena Thaipusam, lambang perpaduan masyarakat majmuk

1 Feb 2026, 2:23 AM
Jutaan kunjungi Batu Caves sempena Thaipusam, lambang perpaduan masyarakat majmuk
Jutaan kunjungi Batu Caves sempena Thaipusam, lambang perpaduan masyarakat majmuk
Jutaan kunjungi Batu Caves sempena Thaipusam, lambang perpaduan masyarakat majmuk
Jutaan kunjungi Batu Caves sempena Thaipusam, lambang perpaduan masyarakat majmuk

GOMBAK, 1 FEB: Sambutan Thaipusam peringkat Selangor di Batu Caves terus menjadi simbol perpaduan, pengorbanan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Batu Caves bukan sahaja menjadi lokasi penting bagi penganut Hindu di Malaysia, malah menjadi antara destinasi keagamaan paling ramai dikunjungi di dunia.

Katanya, ia sekali gus mencerminkan identiti Selangor sebagai negeri berbilang kaum dan agama yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.

“Setiap tahun, sekurang-kurangnya sejuta orang akan datang ke sini (Batu Caves) dan kebanyakannya akan datang ketika Thaipusam.

“Kita rasa sangat bangga kerana tempat kita seperti Batu Caves, selain Masjid Negeri dan tokong di Kuala Langat merupakan antara tempat kunjungan paling ramai. Selangor sebuah negeri untuk pelbagai kaum dan agama tinggal dengan aman, damai dan selesa,” katanya.

Beliau berucap pada sambutan perayaan Thaipusam peringkat Selangor di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata Thaipusam membawa pengajaran mendalam tentang nilai pengorbanan, kesabaran dan kepercayaan, bukan sekadar dalam konteks keagamaan tetapi juga dalam kehidupan bermasyarakat.

“Thaipusam bukan hanya satu perayaan keagamaan orang Hindu tetapi bagi peringatan dan pengajaran kepada semua, kita perlu berkorban, bertimbang rasa dan perlu laksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin.

“Mari kita jadikan Thaipusam medium untuk satukan dan kukuhkan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat supaya kita dapat bersama-sama memerangi ekstremisme atau orang yang membakar api perkauman dan merosakkan hubungan sesama kita,” katanya.

Terdahulu, dianggarkan lebih 2.5 juta orang dijangka mengunjungi Batu Caves sempena sambutan Thaipusam tahun ini yang pada hari ini.