PETALING JAYA, 8 OKT: Negara ASEAN diseru terus memupuk dan mengekalkan semangat toleransi, empati dan keterangkuman dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Dato’ Menteri Besar berkata ketika dunia kini berdepan peningkatan ekstremisme, penindasan dan fahaman sempit, ASEAN perlu menjadi imbangan kepada arus negatif tersebut dengan menonjolkan nilai kemanusiaan dan perpaduan sejagat.
"ASEAN mesti menjadi imbangan kepada arus negatif ini dengan mengekalkan toleransi, empati dan keterangkuman sebagai asas perpaduan serantau," kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat ke-34 Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) di Sunway Resort Hotel, malam ini.

Kata beliau, rantau Asia Tenggara telah lama menjadi contoh kepada dunia bagaimana masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya mampu hidup harmoni dalam satu aspirasi bersama untuk keamanan dan kemakmuran.
"Ini amat penting ketika ini, kerana jika kita meninjau ke benua lain seperti Eropah, Amerika Utara atau sebahagian Afrika, kita menyaksikan rentak penindasan dan kezaliman yang semakin memburuk. Namun, kisah ASEAN berbeza.
“Dalam suasana dunia yang mencabar ini, rakyat ASEAN perlu menyeimbangkan arus global yang cenderung ke arah fahaman fasis dan kecenderungan menjadikan ‘yang lain’ sebagai musuh," tegasnya.
Tambah beliau, sejarah Asia Tenggara menunjukkan kepelbagaian bukan halangan kepada kemajuan, tetapi merupakan sumber kekuatan yang membentuk identiti rantau ini.
"Selangor sendiri mencerminkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian. Negeri ini menjadi contoh bagaimana warisan dan kemodenan boleh berjalan seiring, sambil menjadikan tradisi sebagai pemangkin kepada inovasi," ujarnya.

Tegas Amirudin, pertumbuhan ekonomi serantau mesti berpaksikan keadilan dan maruah manusia, bukannya bersifat menang-kalah antara negara.
"Pertumbuhan ekonomi bukan permainan sifar.Kita tidak perlu menjatuhkan jiran untuk bangkit. Sebaliknya, kemajuan mesti berpaksikan nilai Asia yang menghormati manusia dan memelihara budaya," katanya lagi.
Amirudin turut menyeru ASCC terus menjadi platform utama dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui perkongsian nilai dan warisan budaya.
"ASEAN boleh menjadi contoh kita mampu hidup aman dan harmoni berdasarkan nilai-nilai kita sendiri.
"Malam ini bukan sekadar meraikan budaya, tetapi juga hubungan yang mengikat kita semua. Walau pun negara kita dibezakan oleh laut dan sempadan, kita berkongsi harapan yang sama iaitu keamanan, kemakmuran dan maruah untuk semua," tegasnya.

Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai Kanan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) ke-39 dan Mesyuarat ASCC ke-34, di Pusat Konvensyen Sunway bermula semalam.
Mesyuarat ASCC yang diadakan dua kali setahun di peringkat menteri, disokong oleh SOCA, menjadi saluran untuk negara anggota ASEAN membincangkan isu-isu utama sosiobudaya dan memperkukuh agenda serantau berteraskan rakyat melalui inisiatif budaya dan kerjasama antarabangsa.